Tiga air terjun dikatakan paling seram di Negeri Sembilan

0
602

Siapa yang tak suka beriadah dekat air terjun? Selain boleh bermandi-manda, bunyi air yang mengalir di celah-celah lekuk batu juga sangat memberikan ketenangan yang luar biasa. Memang port terbaik nak hilangkan stres dekat pejabat.

Tapi biasalah, setiap tempat memang ada misteri yang hanya diketahui oleh orang tempatan. Cerita-cerita ini pun tak terkenal sangat kecuali dalam kalangan masyarakat di sini sahaja. Contohnya macam beberapa tempat air terjun yang dikatakan antara paling seram di Negeri Sembilan.

Hutan Lipur Lenggeng

Hutan Lipur Lenggeng memang selalunya sunyi. Sebab biasanya orang akan pilih ke lokasi yang mempunyai keluasan lebih besar seperti Ulu Bendul. Dikatakan ada satu tragedi ngeri yang pernah terjadi di jeram ini iaitu kes pembunuhan apabila penduduk tempatan menjumpai mayat perempuan yang tidak berkepala. Sejak itu, ramai juga yang pernah melihat kelibat wanita tanpa kepala di sana.

Bukan itu sahaja, menurut penduduk tempatan, jeram ini menjadi lokasi ramai pengamal ilmu hitam melakukan ritual yang menakutkan. Tak hairanlah jika jeram Lenggeng juga menarik kumpulan paranormal tempatan untuk melakukan kajian di sana.  Walau bagaimanapun, kawasan ini tetap dibuka untuk orang berkunjung. Cuma itulah, memang tak ramai  pengunjungnya.

Ulu Bendul

Ulu bendul ialah kawasan mandi-manda. Tapi ada juga cerita tentang jeram ini yang dikatakan  tempat orang menuntut ilmu kebatinan. Jalan nak menuju jeram ini pun boleh tahan seramnya. Ada yang pernah terserempak dengan wanita rentung yang memanggil minta tolong. Ada juga nenek tua yang tiba-tiba muncul.

Kalau korang pergi sini, pastikan korang dah gerak balik sebelum maghrib. Sebab penduduk di sini pernah ternampak Pontianak berkeliaran di situ pada waktu malam.

Jeram Toi

Jeram Toi tak la jauh sangat dengan Hutan Lipur Lenggeng. Meskipun begitu, Jeram Toi masih lagi menerima pengunjung dan masih dipelihara. Kisah seram yang paling popular  di Jeram Toi ialah kewujudan langsuir yang gemar mengganggu pengunjung pada waktu malam. Ada juga penduduk sekitar yang pernah terserempak dengan ular bersaiz tiang elektrik yang disamakan dengan jelmaan Jin yang menjaga hutan tersebut.

Namun, cerita-cerita misteri itu sudah semakin jarang di dengari pada zaman moden ini. Lagi pula jarang betul orang nak berkelah sampai waktu malam sebab masing-masing faham keadaan sekitar air terjun yang mungkin dihuni oleh binatang buas. Apapun, berhati-hatilah  jika berkunjung ke tiga lokasi air terjun ini.

Jaga kata-kata dan perlakuan ini. Apapun, keindahan alam semulajadi ini memang wajar dinikmati. Jangan biarkan ketakutan anda membatasi segalanya!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here